Jodohku beza 25 tahun

Melaka: Ketulusan hati lelaki muda ini memilih wanita 25 tahun lebih berusia daripadanya selain berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak mempunyai rahim sebagai isterinya begitu dikagumi serta menyentuh hati.

Walaupun perbezaan usia yang jauh dan juga ada ‘kekurangan’ pada isterinya, tidak pernah menjadi penghalang kepadanya untuk mencipta kebahagiaan bersama wanita pilihannya.

Tidak salah rasanya menganggap Mohd Azwin Kamarulzaman, 30, sebagai ‘lelaki teragung’ apabila menikahi Noriha Nordin, 55, lima tahun lalu kerana belum tentu ada lelaki lain yang sanggup berbuat sepertinya disamping melayani isterinya seperti permaisuri.

Pasangan ini langsung tidak menampakkan celanya sebaliknya dilihat begitu serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Kematangan Mohd Azwin sebagai ketua keluarga menjadi ‘perencah’ kepada kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga selain menghangatkan lagi percintaan luar biasa mereka yang turut mendapat pujian rakan-rakan.

Mohd Azwin berkata, dia tidak kisah isterinya tidak boleh hamil dan melahirkan anak.

Baginya zuriat bukanlah pengukur kepada kebahagiaan kerana dia sudah pun menjadi bapa segera kepada tiga anak tiri yang dianggap seperti anak kandungnya.

“Saya ikhlas menyayangi isteri dan mahu menjaga serta melindunginya sehingga ke akhir hayat saya, jadi tidak timbul isu anak.

“Di mata saya, isteri tetap wanita sempurna dan dia (isteri) adalah satu anugerah terindah dalam hidup dan tidak akan mensia-siakannya.

“Sejak mengahwininya banyak perubahan positif berlaku ke atas saya dan rezeki juga lebih murah. Banyak perkara baru dipelajari daripadanya terutamanya dalam perniagaan dan kami bersama-sama membuka pusat latihan renang di Pusat Akuatik Hang Jebat, Kerubong, di sini, sejak dua tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi percintaan dengan isterinya Mohd Azwin berkata, kali pertama melihat isteri kira-kira enam tahun lalu ketika isteri bersama anak-anaknya mengikuti kelas renang diajar ibunya yang juga jurulatih di Kompleks Renang Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Hati saya berasa tenang setiap kali menatap wajahnya dan dalam diam saya jatuh cinta terhadapnya.

“Kegigihan isteri mengusahakan ternakan ikan air tawar demi membesarkan anak-anaknya yang ketika itu mengalami krisis rumah tangga selama 25 tahun dengan bekas suaminya menguatkan lagi keinginan untuk mengenalinya lebih mendalam,” katanya.

Katanya, di sebalik kelembutannya, sebenarnya isteri adalah seorang yang tegas dan kuat semangat.

Selain itu menurutnya, isteri adalah rakan rapat kepada ibunya Sabariah Tompang, 57, dan sebelum berkahwin memanggil isterinya umi (ibu) kerana menghormati disebabkan usianya hampir sama dengan ibu.

“Kini, saya tidak menyangka panggilan itu (umi) bertukar kepada sayang walaupun pada awalnya agak kekok menyebutnya.

“Kehadirannya melengkapkan hidup saya dan tidak sanggup kehilangannya,”katanya.

Sementara itu Noriha berkata, suaminya mempunyai sifat kematangan yang tinggi meskipun usianya jauh lebih muda daripadanya dan itu membuatkan mereka serasi sebagai suami isteri.

Katanya, tidak dinafikan pada peringkat awal dia agak keberatan untuk menerima pinangan ibu mertua kerana serik dengan kegagalan perkahwinan pertama dengan bekas suami selain berpendapat Mohd Azwin boleh mendapat calon isteri lebih baik daripadanya.

“Tetapi kesungguhan dan keikhlasan suami serta sokongan anak-anak membuka pintu hati untuk berkahwin kali kedua dengannya (suami).

“Ternyata ini adalah pilihan terbaik dan menganggap ia adalah rahmat daripada Allah dan kebahagiaan diberikan menggantikan penderitaan yang saya lalui dengan perkahwinan sebelum ini,” katanya.

Noriha berkata, dia sendiri berasa kagum terhadap suaminya kerana pada usia 25 tahun ketika mereka bernikah, suami dapat memikul tanggungjawab dengan baik kepadanya dan anak-anak tiri.

“Suami saya seorang sangat penyayang dan penyabar melayan kerenah saya serta sering mengalah dalam apa juga keadaan.

“Sikap baiknya itu membuatkan dia (suami) disayangi seluruh ahli keluarga saya termasuk anak-anak yang memanggilnya ayah.

“Paling menyentuh hati, dia langsung tidak peduli dengan kekurangan diri saya tanpa rahim yang dibuang pada 2007,” katanya.

Katanya lagi, tidak kurang juga ada rakan-rakan menggelarkan mereka ‘belangkas’ kerana sentiasa dilihat bersama di mana-mana.

Noriha berkata, seperti juga pasangan suami isteri lain, dia turut mengharapkan agar rumah tangga yang dibina itu berkekalan dan bahagia.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *