Tinggal Kerjaya Pensyarah, Tumpu Kerja Kebajikan

Pengasas Kembara Amal Ventures (Kave), Dr Azuraida Shahadan, berkata keputusan itu memberi peluangnya membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Beliau berkata, hatinya kuat mengatakan keputusan ini adalah yang terbaik dan yakin pada amanat arwah ibunya sebelum ini supaya beliau terus kuat dan gigih melakukan kerja kebajikan.

Katanya, walaupun kerjaya sebagai ahli akademik menjanjikan pendapatan lumayan dan masa depan terjamin, namun yakin tekad melepaskan jawatan itu adalah yang terbaik untuknya.

“Berhadapan cabaran seperti wang dan mendapatkan bantuan daripada sukarelawan, semuanya diselesaikan dengan baik kerana niatnya untuk membantu.

“Saya tidak pernah menyesal dan menoleh belakang.

“Apabila berhenti kerja, saya memberi tumpuan sepenuhnya menguruskan aktiviti sukarelawan dengan lebih lancar,” katanya.

Arwah ibu beri semangat

PENGASAS Kembara Amal Ventures (Kave), Dr Azuraida Shahadan. – Foto Aziah Azmee

Sekali lagi, Azuraida berkata, beliau berterima kasih atas dorongan arwah ibu yang sentiasa memberi semangat kepadanya menjalankan kerja amal, sehingga kini apa dilakukan tidak pernah mengecewakan.

“Percaya kepada prinsip lebih banyak memberi, lebih banyak bakal diperoleh, menguatkan usaha hingga tertubuhnya Kave sejak tiga tahun, memberi impak sosial kepada masyarakat tempatan dan luar negara.

“Penubuhan itu adalah susulan daripada penubuhan Yayasan Jamin yang diasaskan abang sulung, Datuk Sohaimi Shahadan.

“Rumah anak yatim Teratak Che Dah pula diasaskan ayah saya, Shahadan Jamin di Kundang, Selangor. Penubuhan ini khas untuk arwah ibu, Che Dah Said,” katanya.

Beliau yang pernah berhijrah ke Amerika Syarikat pada 2008, kembali semula pada 2015, turut aktif menjalankan aktiviti kebajikan di sana.

Wanita berusia 34, juga pernah menjadi sukarelawan di Pusat Perkhidmatan Sukarelawan Universiti Pittsburgh dan California State University ketika menuntut di sana.

Selain meluangkan masa mengendalikan kerja amal di Rumah Kebajikan Orange County Social Service, beliau juga menguruskan tugas mengagihkan makanan kepada gelandangan Mary’s Soup Kitchen dan sukarelawan Islamic Relief dan Disaster Assistant Relief Team (DART).

Mula terbabit sebagai sukarelawan sejak 2006 menerusi Islamic Relief ketika gempa bumi di Yogjakarta, Indonesia.

Berkongsi pengalaman ketika berada, di Pittsburgh, komuniti Melayu kecil sekitar lapan orang, katanya dia mengambil keputusan melakukan kerja sukarelawan seperti membantu anak terbuang.

Sekembalinya ke tanah air pada hujung 2015, Azuraida turut menjalankan kerja sukarela, tetapi tidak sepenuhnya kerana terikat dengan komitmen tugas.

Sebagai pensyarah, selain mencurahkan ilmu, beliau turut mendedahkan kepada pelajar menjadi pemimpin dengan meletakkan diri sama duduk dengan mereka di bawah.

Justeru, apabila ada program amal, dia membawa pelajar merasai pengalaman istimewa ini.

“Bermula dengan pengalaman itu, ada dalam kalangan mereka tampil menjadi sukarelawan Kave dan mereka selesa beramal sehingga kini.

“Malah idea penubuhan NGO daripada pelajar saya. Kemudian, kami tubuhkan kumpulan kembara amal ini kerana kena dengan jiwa mereka yang gemar mengembara.

“Sambil mengembara, kita berpeluang melihat kesusahan orang lain dan beramal,” katanya.

Setakat ini, Azuraida berkata, kembara amal itu mempunyai 21 sukarelawan, selain pengasas bersama penyanyi terkenal Deja Moss.

SOHAIMI bersama penaja dan peserta pada majlis Makan Malam Amal Prihatin sempena Program Transformasi Kepimpinan Diri anjuran KAVE di Kuala Lumpur. – Foto Rosdan Wahid

Tiga skop utama Kave

Kini beliau mempunyai ruang secukupnya menyempurnakan tiga skop utama Kave, iaitu membantu anak yatim dan asnaf, termasuk ibu tunggal, Orang Asli dan aktiviti amal membabitkan masyarakat dan penjagaan alam sekitar.

Sudah mengembara ke lebih daripada 30 negara, antaranya United Kingdom, Jerman, Perancis, Denmark, Belanda, Mexico, Sepanyol, Portugal, Turki, Australia, New Zealand, Thailand dan Jepun.

Kesempatan itu memberi peluang kepadanya menyaksikan kehidupan masyarakat setempat. Melihat kehidupan sebagai sebuah kebajikan.

“Pengalaman ini menjadikannya lebih bermuhasabah dengan mensyukuri nikmat, mempelajari budaya dan sifat sabar serta semangat setia kawan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Related Posts