PDRM pertimbang ganjaran bagi maklumat sehingga tertangkapnya Jho Low

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan ganjaran kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata perkara itu bergantung kepada keadaan sehingga terdapat keperluan daripada pihaknya.

“Jika bagi habuan sekali pun, kita perlu bersedia dengan wang tunai dan ganjaran serta sebagainya (perkara lain yang berkaitan).

“Kalau ada keperluan, kita akan pertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang tadi.

Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng, ketika ini amat dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada 24 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap ke atas dua beranak itu, sekali gus membolehkan PDRM memohon kerjasama INTERPOL bagi mengeluarkan notis merah mengesan dan menahan mereka.

Kata Mohamad Fuzi, pihaknya amat mengalukan kesediaan mana-mana pihak untuk memberikan ganjaran penangkapan berkenaan.

“Saya percaya usaha mengesan Jho Low bukan hanya dilakukan oleh polis semata-mata, apabila ada sesuatu insentif, orang akan tampil (memberi maklumat) bagi mempercepatkan penahanannya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya perkembangan kes anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, beliau berkata, pihaknya setakat ini belum memperoleh butiran lengkap mengenainya.

“Apabila dapat nanti, kita akan merujuk kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya),” katanya.

Sumber : 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *