Pemandu Toyota Vios dituduh sebabkan kematian

BUKIT MERTAJAM: Pemandu Toyota Vios yang terbabit kemalangan atas Jambatan Pulau Pinang hingga menyebabkan kematian seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pagi tadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pendandan rambut dituduh tidak mengambil kira keadaan jalan raya hingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, 20 tahun, pada 20 Januari 2019 kira-kira pukul 3 pagi di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 selain hilang kelayakan lesen memandu.

Tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Jamaliah Abdul Manap tetapi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Timbalan Pendakwaraya Yusaini Amir Abdul Karim mulanya meminta tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 berikutan kesalahan dilakukan serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh S Parameswaran merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana hanya bapa tertuduh bekerja selain perlu menyara isteri dan dua adik tertuduh.

Pemandu Toyota Vios dituduh sebabkan kematian

M K Vaitheswaran, 21 tahun, yang memakai baju T hitam dan bertopi sebelum itu dibawa Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (IPDSPT) ke mahkamah dengan kenderaan polis pukul 8.30 pagi.

Jamaliah kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kesnya selesai.

Tertuduh turut perlu melaporkan diri ke Balai Polis Trafik IPDSPT dalam tempoh berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sumber : 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *