Video basuh anjing dalam bilik tukar lampin bayi di R&R Tapah tular

IPOH: Video ‘live’ seorang wanita membasuh anjing di dalam bilik tukar lampin bayi di Kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan yang tular sejak kelmarin mengundang pelbagai reaksi warganet di laman sosial Facebook.

Video ‘live’ dibuat oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Farah Shafiza itu membuatkan ramai pihak memberikan reaksi negatif terhadap tindakan wanita membasuh anjing itu dan menganggapnya tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Farah Shafiza Che Amat, 29, berkata, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama suaminya singgah ke R&R itu untuk ke tandas sebelum mendengar bunyi kecoh beberapa pekerja pencucian yang tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu.

“Saya terdengar bunyi bising dan melihat seorang wanita sedang membasuh anjing di bilik tukar lampin bayi membuatkan saya terfikir untuk buat video ‘live’ di Facebook selepas wanita itu tidak mengendahkan sesiapapun.

“Pekerja pencucian ada menegurnya dan saya sendiri juga menegurnya namun dia buat tidak tahu, saya juga terdengar dia berkata yang anjing bukannya kotor pun,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Farah, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan wanita itu yang tidak mengendahkan sesiapapun kemudiannya beredar meninggalkan R&R berkenaan.

Katanya, atas dasar tanggungjawab, dia kemudiannya membuat laporan kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan dimaklumkan pihak PLUS sudah melakukan samak di bilik tukar lampin bayi berkenaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan PLUS dalam laman webnya memaklumkan persekitaran bilik tukar lampin bayi itu sudah disamak dan dibersihkan serta-merta supaya ia boleh terus digunakan oleh pelanggan.

“PLUS melahirkan rasa kesal dengan kejadian terpencil berkenaan di mana wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian itu.

“PLUS ingin menegaskan seluruh kawasan R&R di sepanjang lebuhraya adalah kawasan larangan haiwan peliharaan untuk memastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan lebuhraya.

“Justeru, PLUS memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan terbabit demi keselesaan pelanggan yang lain,” katanya.

Sumber : 

SEORANG wanita membasuh anjing di bilik tukar lampin bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah. – Foto Facebook

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *