Wanita Tidak Kisah Ebby Yus Sakit, Ajak Kahwin

“WALAUPUN dalam keadaan kesihatan kurang baik ketika ini, masih ada wanita sudi mengajak saya berkahwin dengannya. Namun, soal perkahwinan tetap membabitkan dua hati dan untuk keadaan sekarang, saya sudah pasrah,” kata pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus, 55, yang tidak pernah berkahwin.

Masih hidup membujang pada usia sudah melewati separuh abad, Ebby berkata, bukan dia tidak pernah cuba menjalin hubungan cinta sebelum ini.

“Saya pernah mencubanya ketika usia masih muda dulu. Namun, siapalah kita. Sebagai manusia, saya hanya mampu merancang, kerana selebihnya tetap berbalik pada izin Allah SWT,” katanya.

Ditanya adakah dia pernah mengalami episod putus tunang atau apa saja yang menyedihkan dalam perhubungan, Ebby berkata, dia tidak pernah melaluinya.

“Dalam urusan jodoh, ia tidak membabitkan keputusan sebelah pihak saja tetapi secara berpasangan. Bukan hanya pasangan, turut diambil kira juga persetujuan keluarga seperti restu ibu bapa serta pihak berkaitan sebelah lelaki dan perempuan,” katanya.

Mengakui bukan paras rupa menjadi ukuran dia menolak pelawaan wanita yang mengajaknya berkahwin, Ebby berkata, soal itu hanya diri sendiri yang tahu.

“Masih membujang pada usia adalah takdir saya. Tidak berkahwin bukanlah satu masalah, cuma dalam keadaan sekarang apabila berhadapan masalah kesihatan ia sedikit-sebanyak memberi kesukaran kepada saya,” katanya.

Akhbar Metro Ahad hari ini melaporkan kisah ‘Dilema Bujang Senja’ membabitkan lelaki berusia 50 tahun ke atas.

Lelaki berusia lebih 50 tahun dan masih belum berkahwin berisiko tergolong dalam kategori bujang berkekalan iaitu tidak akan berkahwin sepanjang usia.

Senario itu juga menyebabkan lelaki berkenaan tinggal sebatang kara sehingga ke akhir hayat yang sekali gus menimbulkan cabaran kepada negara untuk memastikan golongan ini tidak terabai.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Md Noh Saiman berkata, soal selidik membabitkan kelompok bujang berusia 25 hingga 49 tahun mendapati 86.8 peratus daripada responden sebenarnya ada mempunyai hasrat untuk berkahwin.

Menurutnya, hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5) pada 2014 yang diterbitkan dua tahun kemudian itu mendapati keinginan untuk berkahwin adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki iaitu 90.7 peratus manakala perempuan, 80.3 peratus.

Sumber : 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *