‘Orang Islam pun ada hina nabi tanpa sedar’

Proses keadilan – terutama dalam Islam – perlu dijalankan secara teliti dan adil, bukannya semberono bagi memastikan sesuatu hukuman dikenakan dengan tepat.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkharnain Abidin berkata seseorang suspek tidak boleh ditangkap dan terus dijatuhkan hukuman.

Bagi sesetengah orang katanya lebih keras dan berat hukuman dikenakan ia lebih baik.

“Malaysia bukan negara Taliban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zolkharnain yang juga pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah mengulas kes individu tertentu yang disyaki menghina nabi dan mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Selain mendesak kerajaan mengambil tindakan segera dan keras, ada antara mereka mempertikaikan mengapa suspek dibebaskan daripada tahanan polis.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menjelaskan suspek terbabit dibebaskan selepas tempoh reman yang dibenarkan mahkamah tamat.

Dakwa nabi begitu begini

Kata Mohamad Fuzi, keputusan untuk mendakwa atau tidak suspek terletak pada Jabatan Peguam Negara dan bukannya Polis Diraja Malaysia.

Pemuda Umno dan PAS pula mengancam untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran jika suspek – berusia 68 tahun – tidak diambil tindakan.

Kata Zolkharnain apabila seseorang itu ditahan dia tidak boleh terus dihukum sebaliknya perlu disiasat dengan saksama.


Baca Ambil tindakan isu hina nabi atau kami berhimpun’


“Setelah terbukti kesalahan dibuat dengan sedar dan sengaja, hukumlah,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad tidak terus menghukum seseorang yang mengaku salah depan baginda.

Sebaliknya kata Zolkharnain Rasulullah menjalankan siasatan dengan teliti dan melihat pelbagai kemungkinan supaya keadilan dapat ditegakkan.

Beliau juga mengingatkan perbuatan menghina nabi bukan saja berlaku dalam kalangan orang bukan Islam.

Sebaliknya kata Zolkharnain ada orang Islam juga menghina nabi secara tidak sedar.

“Misalnya, ada agamawan yang berkata, nabi berkata begitu dan begini, padahal baginda tidak berkata begitu pun.

“Itu suatu pembohongan dan juga penghinaan ke atas nabi. Tapi oleh kerana penghina itu agamawan, ia tidak dianggap menghina oleh sesetengah orang, sebab dalam dunia ini ada pihak yang berasa dirinya suci,” katanya.

Sumber : 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *