Kematian model kerana kemalangan

KUALA LUMPUR: Kematian model Ivana Esther Robert Smit yang terjatuh dari unit Kondominium CapSquare Residences, dua tahun lalu terjawab selepas Mahkamah Koroner di sini hari ini mengklasifikasikan sebagai kematian disebabkan oleh nahas.

Koroner Mahyon Talib ketika membaca keputusan berkata, tidak wujud sebarang perbuatan jenayah, malah tiada individu yang terbabit dalam kes itu.

Mahyon berkata, Ivana Esther mati antara jam 6.50 pagi dan dua petang, pada 7 Disember 2017 dan kecederaannya sama seperti jatuh dari satu ketinggian.

Beliau juga bersetuju dengan Dr Frank Van De Goot (saksi) bahawa kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni (unit) tingkat enam dan kekejangan mayat bermula antara jam 10 pagi dan 11 pagi, selaras dengan hakikat bahawa mangsa masih hidup pada jam 6.50 pagi.

“Tanda cengakaman lengan, trauma belakang kepala, botol pecah dan Asid Deosiribonukleik (DNA) Alex Johnson di bawah kuku Ivana Esther, mahkamah mencadangkan terdapat beberapa pergelutan atau perkelahian berlaku antara Alex Johnson, Ivana Esther dan Luna Almaz.

“Mahkamah juga tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku antara (ketiga-tiga) mereka. Justeru mahkamah memutuskan kematian Ivana Esther sebagai ‘misadventure’,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mahkamah berdasarkan penemuan fakta dan Peruntukan 337 Akta 593 Kanun Tatacara Jenayah.

“Keputusan mahkamah seperti berikut. Model itu meninggal antara 6.50 pagi dan sebelum dua petang bertarikh 7 Disember 2017.

“Mayat mangsa dijumpai di tengah-tengah longgokan serpihan runtuhan balkoni tingkat enam. Kematiannya akibat jatuh darilada tempat tinggi dan tiada sesiapa yang terbabit secara jenayah menyebabkan kematiannya,” katanya.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner, dan Pegawai Perhubungan Polis Belanda bagi Malaysia dan rantau ini, Gerard van Heerwaarde.

Prosiding inkues yang bermula pada 8 Ogos tahun lalu itu dikendalikan Pegawai Pengendali Kes, N Joy Jothi dengan memanggil 22 saksi, manakala keluarga si mati diwakili peguam Sankara Nair.

‘Misadventures’ ialah kematian disebabkan kemalangan melalui perlakuan yang tidak melanggar undang-undang tanpa niat untuk menyebabkan sebarang kecelakaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 7 Disember tahun lalu, Ivana Esther ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare di sini selepas terjatuh dari tingkat 20.

Sebelum kejadian, Ivana Esther bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya, warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.

Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur, manakala Ivana Esther berehat di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, Ivana Esther yang tidak berpakaian dipercayai pergi ke balkoni dan terjatuh sehingga menerobos sengkuap balkoni kediaman di tingkat 6 sebelum mendarat di balkoni unit berkenaan.

Ivana Esther yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan ‘Malaysia Supermodel Search 2014’ ketika berusia 15 tahun, turut memiliki kewarganegaraan Belgium.

Dalam pada itu, media luar negara melaporkan, keluarga Ivana Esther dikatakan menghubungi Kedutaan Belanda serta Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan mahu siasatan penuh dijalankan kerana mengesyaki mangsa dibunuh.

Sumber : BH

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *