PH akui sukar rampas Rantau

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu mengakui gabungan itu sukar untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, persepsi yang dimainkan Barisan Nasional (BN) termasuk isu agama dan perkauman dijangka menjadi penyumbang kepada kekurangan undi.

“PH perlu kerja lebih kuat. Anggapan bahawa PH adalah ‘barua’ DAP masih kuat selain pihak lawan menggunakan ayat al-Quran.

“Oleh demikian, PH kena ambil perhatian dan perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul persepsi yang salah. Pihak lawan memang kerja mereka menimbulkan persepsi sebegitu,” katanya ketika program Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, PH akan mengambil jalan dengan memberi penerangan kepada pengundi berhubung perkara itu.

“Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) yang akan bertanding bukan menjadi faktor kerana semua PRK kita anggap susah tak kira siapa calonnya,” katanya.

PRK DUN Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan pada 29 November lalu.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Sumber : BH

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *