Dr M: PAS-Umno kahwin boleh, lelaki kahwin lelaki tak boleh

PARLIMEN | Diminta mengulas tentang hubungan kerjasama PAS dan Umno yang kini sudah rasmi, dengan nada sinis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada halangan untuk kedua-dua parti itu berbuat demikian.

Menjelaskan bahawa meskipun Malaysia tidak membenarkan perkahwinan jantina yang sama, parti-parti politik bebas ‘berkahwin’ sesama sendiri.

“Kalau dia nak bersatu, bersatu lah. Dia nak kahwin, kahwin lah. Negara kita ni bebas.

“Kalau nak kahwin lelaki, sini tak boleh lagi lah. Dia nak kahwin dengan yang lain boleh,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Selasa lalu, selepas lebih dua setengah jam bermusyawarah, PAS dan Umno bersetuju bahawa kedua-dua parti rasmi ‘bersanding’ di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Umno dan PAS mengumumkan hubungan rasmi itu selepas kerjasama kedua-dua parti berkenaanmemberikan kemenangan kepada BN dalam dua pilihan raya kecil (PRK).

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengibaratkan perjumpaan kedua-dua parti itu sebagai “persandingan” sementara proses seperti merisik berlaku di PRK Sungai Kandis.

Dalam perkembagan berasingan, Mahathir berkata kunjungannya ke China pada bulan depan merupakan peluang bagi membincangkan bagaimana Malaysia boleh mendapat manfaat daripada dasar kerajaan republik itu termasuklah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Suka atau tidak, China merupakan kuasa besar,” kata Mahathir berhubung kebimbangan perangkap hutang yang dibangkitkan beberapa negara yang terlibat dengan projek di bawah BRI.

“Kita perlu mengambil pertimbangan tentang dasar mereka dan mengenal pasti bagaimana kita boleh memperoleh manfaat daripada dasar berkenaan.

“Tidak semua dasar itu mendatangkan keburukan. Ada yang boleh memberi manfaat. Terpulang kepada kita untuk mengenal pasti yang mana baik untuk kita,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan Mahathir akan menjadi pemimpin pertama yang mengesahkan kehadiran di kemuncak BRI yang akan diadakan di Beijing bulan depan.

Sumber – malaysiakini

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *