KPKT akan bertindak kes sewa, jual rumah PPR kepada orang lain

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) beri amaran keras kepada penyewa dan pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dikesan memberi sewa kediaman mereka kepada orang lain.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata amaran itu kerana pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam berkenaan isu penyewa dan pemilik PPR yang menyewakan unit kediaman mereka itu kepada pihak lain.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR tertera klausa yang menetapkan bahawa penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian dari kediaman (sewaan bilik).

“Bagi pihak yang sudah melanggar syarat yang ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diberikan.

“Di dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula, terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli dan Surat Akuan Bersumpah, bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.

“Mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zuraida berkata, KPKT memberi amaran akan mengambil tindakan tegas bagi menangani penyalahgunaan PPR iaitu penyewaan atau penjualan tidak sah dalam masa terdekat.

“KPKT turut akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan (pengiklan) penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa/beli hartanah ataupun melalui media sosial.

“Maklumat yang sahih dan sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT, http://ehome.kpkt.gov.my,” katanya.
Sumber : BH

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *