2 warga Malaysia maut, 6 lagi hilang akibat gempa bumi di Lombok

KUALA LUMPUR: Dua warga Malaysia termasuk Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi yang belum dipastikan identitinya, terkorban, manakala enam lagi rakyat Malaysia hilang akibat gempa bumi magnitud 5.8 di Lombok Timur, Indonesia hari ini.

Kematian Siew Kim, 56, disahkan oleh Sin Chew Daily. Mangsa dikatakan bercuti di pulau itu bersama anak lelakinya, Teoh Jin Yik, 20, yang dilaporkan cedera dan dirawat di hospital berdekatan.

Dua rakyat Indonesia turut dilaporkan maut dan beberapa lagi cedera dalam kejadian jam 2.07 petang tadi itu.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan, berkata semua mangsa difahamkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa bumi menggegarkan pulau itu.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima laporan bahawa seorang warga Malaysia terkorban, manakala enam lagi belum dapat dikesan dalam kejadian itu.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan hingga kini pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, gegaran akibat gempa bumi itu turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kementerian turut melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi berkenaan.

Justeru, rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian 62215224947/6281380813036 dan Wisma Putra di talian 03-88874570.

“Kementerian Luar menasihat supaya rakyat Malaysia melaporkan diri dengan kedutaan dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Orang awam melintasi jalan yang rosak akibat gempa di Kayangan Port dekat Lombok pada Ogos 2018. – Foto fail Reuters
Sementara itu, Antara News yang memetik jurucakap kerajaan daerah, Mujaddin Muhas, berkata setakat ini identiti mangsa belum diperoleh.

Berikutan itu, Mujaddin berkata, pihak berkuasa kesihatan dan Agensi Pemantau Bencana Lombok Utara sudah mengerah anggotanya ke kawasan terbabit, termasuk empat ambulans.

“Seorang mangsa yang cedera kini dirawat di Pusat Kesihatan Masyarakat Bayan,” katanya.

Beliau berkata, tempoh perjalanan ke kawasan air terjun Tiu Kelep mengambil masa selama 45 minit dengan berjalan kaki dari jalan utama Senaru.

Kejadian gempa bumi pada jam 2.07 petang (waktu tempatan) itu turut menjejaskan beberapa kawasan di wilayah barat Nusa Tenggara, tetapi ia tidak menyebabkan ancaman tsunami.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), pusat gempa itu terletak 24 kilometer (km) dari daerah timur Lombok, 36km di timur laut daerah utara Lombok, 37 km di barat laut Pulau Panjang di daerah Sumbawa dan 63km di timur laut Mataram.

Sumber : Berita harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *