Apa perkembangan siasatan kes berkaitan PH?

Sejak Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada Mei lalu, ada pelbagai dakwaan salah laku anggota pentadbiran, dan individu yang berkaitan dengannya, yang dilapor media secara meluas.

Bagaimanapun setakat ini belum ada yang dibawa ke mahkamah.

Enam bulan lalu, rakaman video menunjukkan pegawai khas kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Aziz Jamman merakam dari bawah skirt seorang wanita. Pegawai itu dibuang, tetapi tiada rekod menunjukkan dia didakwa.

Ketika pemilihan PKR hujung tahun lalu, beberapa pekerja parti ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kejanggalan dalam senarai keanggotaan parti.

Seorang pemimpin PKR Sarawak menyerahkan apa yang disifatkannya sebagai bukti yang “tak dapat disangkal” tentang pembelian undi. Sejak itu, tiada kemas kini berkenaan siasatan SPRM terhadap pemilihan PKR.

Disember lalu, setiausaha politik perdana menteri Zahid Md Arip disebut dalam sepuluh pertuduhan rasuah terhadap bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad.

Sebulan kemudian, anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didakwa positif ganja. Kertas siasatan polis telah dihantar kepada pendakwaan.

Ada juga pelbagai laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya ketika kempen PRK Cameron Highlands, melibatkan calon PH M Manogaran dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Malaysiakini membuat beberapa percubaan untuk mendapatkan status kemas kini semua kes ini daripada polis, SPRM dan pejabat peguam negara, tetapi tidak berhasil.

Pengarah Eksekutif Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata tiadanya kemas kini daripada pihak berkuasa memang menjadi satu kebimbangan.

“Dalam semangat kebertanggungjawaban dan ketelusan, pihak berkuasa mesti menunjukkan tahap kepantasan sama ketika menyiasat dalam siasatan melibatkan pemimpin politik dan keluarga mereka. Tahap keadilan mesti sama seperti dalam kes lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Dengan memberikan kemas kini siasatan secara berkala, katanya, ia akan menunjukkan pihak berkuasa tidak berat sebelah dan mengutamakan kedaulatan undang-undang.

“Penting untuk PH menunjukkan mereka boleh menjadi berbeza dengan pentadbiran lalu, walaupun ia mungkin mengaitkan keluarga sendiri, kakitangan atau orang yang rapat dengan mereka.

“Jika mereka buat kesalahan, mereka patut dihukum. Tetapi jika tiada kes, orang awam perlu dimaklumkan,” katanya lagi.
Sumber : malaysiakini

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *