Mujahid balas kritikan Marina

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hari ini menjawab teguran Datin Paduka Marina Mahathir yang mendakwanya cuba mengalihkan perhatian daripada isu dan tuntutan wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan beliau komited untuk memperjuangkan hak golongan itu namun bukan menyokong kumpulan yang memperjuangkan norma yang bercanggah dengan agama.

Beliau seterusnya kesal isu dan tuntutan wanita telah ditenggelamkan oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang terlibat dengan perhimpunan Women’s March baru-baru ini.

“Marina kata saya dan Wan Saiful (Wan Jan) lari tajuk dan menyerang LGBT sedangkan itu perhimpunan wanita. Saya ingin jelaskan yang saya sebut sebab nak bela wanita supaya wanita yang buat tuntutan itu dan jadi perbahasan serta bukan golongan LGBT.

“Ini amat jelas kelompok LGBT yang hadir melaungkan slogan-slogan ‘Hidup LGBT’ sedangkan bercanggah dengan apa kita tetapkan dan menenggelamkan isu wanita yang sebenar.

“Bukan saya tidak dengar tuntutan wanita dan mahu bawa isu LGBT. Saya hendak sebut bahawa yang berlaku penganjur tidak sensitif dalam memahami apa isunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Hari Wanita Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau membalas kritikan Marina yang juga aktivis sosial dan anak perempuan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Marina sebelum itu mendakwa tindakan Mujahid cuba mengalihkan perhatian daripada menangani tuntutan wanita dengan menumpukan pada hanya satu tuntutan sebagai ‘memalukan’.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyeru golongan wanita tampil ke depan dan sama-sama duduk berbincang kerana beliau sentiasa terbuka dengan apa-apa tuntutan.

“Kalau isu wanita ayuh kita berbincang, saya menyokong isu tiada keganasan kepada wanita, saya sokong gaji minima, tiada penindasan lelaki ke atas wanita. Semua itu tidak ada masalah.

“Bagus tuntutan itu tetapi ditenggelamkan oleh isu seorang dua di kalangan LGBT dan wanita sendiri tidak boleh terima.

“Jadi, kita sama-sama fokus apa kita mahu, ikut naratif, keperluan, ajaran agama dan norma dalam negara serta jangan lari dengan isu sensasi tapi tidak bawa kita ke mana-mana,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *