Di balik jeriji penjara Zul terkenang nasib Aishiteru

Meski jasadnya berada dalam penjara, ingatan penyanyi Zivilia, Zul – atau Zulkifli – tetap kuat pada lagu-lagu baru yang sudah siap dirakam namun belum dipromosikan.

Kebimbangan utama Zul ialah lagu Aishiteru Tinggal Cerita.

Hal itu didedahkan oleh pemain dram Zivilia, Obot, yang menjenguk Zul di dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini.

“Ada enam hingga tujuh lagu dirakam. Zul sempat menitipkan pesan tentang lagu Aishiteru Tinggal Cerita itu,” katanya.

Menurut Obot, klip video lagu tersebut juga sudah disiapkan ketika mereka berkunjung ke Jepun.

“Itu lagu yang terakhir kami rakam di Jepun sebelum ini. Zul berpesan agar promosi mengenainya tak diabaikan,” katanya.

Zul kini ditahan di Penjara Polis Daerah Metro Jaya selepas didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Kini ada musibah

Rangkaian pengedaran dadah itu terbongkar melalui operasi polis Jakarta dan Palembang mulai 28 Feb hingga 2 Mac lalu.

Melalui operasi khas itu sembilan orang ditahan, termasuk Zul.

Penyanyi lagu Aishiteru itu diberkas bersama tiga suspek lain – seorang daripadanya wanita – di sebuah pangsapuri di Kelapa Gading, Jakarta Utara.

Hasil penangkapan itu, polis menyita pelbagai barang bukti termasuk 9.5kg syabu dan 24,000 pil ekstasi.

Secara keseluruhan syabu disita polis mencecah 50.6kg dan 50,000 biji ekstasi. Turut dirampas, wang tunai bernilai lebih Rp310 juta (RM890,000).

Mengikut undang-undang Indonesia, Zul berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah Obot, lagu Aishiteru Tinggal Cerita sudah diterbitkan sebelum Zul Zivilia ditangkap polis namun sehingga kini lagu itu belum pernah dipromosikan dan dipersembahkan di pentas.

“Dengan ada musibah macam ni, Zul berpesan supaya lagu ni dipromosikan,” katanya.

Sumber : malaysiakini

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *