Remaja pinjam 7 along dek cinta

HANYA kerana cinta, remaja berusia 17 tahun terjebak pinjaman along berjumlah RM12,000, menjadi peminjam termuda yang direkodkan Unit Banteras Ceti Haram, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setakat ini.

Meminjam dengan tujuh along, semua wang itu dibelanjakan untuk teman lelakinya termasuk ansuran bulanan motosikal serta duit poket menyebabkan dia menghadapi masalah untuk melunaskan pinjaman yang dibuat sejak lima bulan lalu.

Mangsa berkata, dia bekerja sebagai pembantu di kedai serbaneka di ibu negara dan mengenali lelaki terbabit tahun lalu sebelum menjalin hubungan cinta tidak lama selepas itu.

Katanya, sebaik tamat persekolahan, dia mengenali lelaki itu yang tidak bekerja dan sering memberikannya wang setiap kali diminta kerana sayang.

“Selepas itu, dia minta untuk memberikannya wang lebih kerana ingin membeli motosikal. Tanpa berfikir panjang, saya kemudiannya membuat pinjaman along berjumlah RM2,000 dan bantu bayarkan ansuran bulanan.

“Saya memang tidak fikirkan apa kesannya kerana sayangkan dia dan ingin menjalani hidup bersama. Tidak lama kemudian, saya pinjam lagi kerana nak gunakan wang. Gaji saya sebagai pembantu di kedai tidak seberapa,” katanya yang membuat aduan kepada Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang.

Dalam tempoh beberapa bulan, dia membuat tambahan pinjaman daripada tiga lagi along antara RM2,000 hingga RM4,000 dengan tuntutan keseluruhan berjumlah RM12,000 menyebabkan dia buntu memikirkan masalah itu.

“Atas nasihat keluarga, saya rujuk masalah ini kepada PPIM dan cuba berunding dengan teman lelaki. Malangnya dia seperti ingin mengelak dan tidak menjawab pertanyaan yang dibuat,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata, pihaknya cuba berbincang dengan lelaki terbabit untuk mencari jalan penyelesaian, namun setakat ini masih belum berhasil.

Katanya, ia menjadi agak rumit kerana pinjaman dibuat atas nama mangsa menyebabkan dia perlu bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman itu seperti mana dipersetujui sebelum ini.

“Setakat ini, berdasarkan rekod kita, dia adalah peminjam termuda kerana sebelum ini kita terima aduan daripada mangsa berusia 20 tahun. Apa yang berlaku, pada usia semuda ini, dia tidak dapat mempertimbangkan baik buruk tindakannya itu.

“Bukan mudah untuk berurusan dengan ramai along, apatah lagi dia baru saja tamat sekolah tahun lalu. Unit ini akan cuba membantu dan kita akan jadualkan semula pembayaran yang dipersetujui bersama antara keluarga dan along.

“Nasihat saya supaya dia tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan dan jangan mudah percaya kepada janji manis orang baru dikenali. Kita terima banyak kes penipuan dalam urusan pinjaman along ini dan ia memberi kesan seperti ancaman serta ugutan kepada peminjam dan ahli keluarga,” katanya.

Sumber : metro

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *