Kemenangan PH penting bagi masa depan golongan muda, kata Anwar

SEREMBAN- Kemenangan PH pada PRK DUN Rantau esok penting demi masa depan golongan muda di kawasan tersebut, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata banyak projek yang menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan akan dilaksanakan sekiranya calon PH, Dr S Streram menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Ini adalah untuk faedah anak-anak kita dan generasi akan datang…Ini kamu kena fikir betul-betul masa depan golongan muda di negeri ini yang kebanyakan mereka tiada peluang pekerjaan,” katanya semasa sesi menziarahi masyarakat India di Taman Bunga Raya, Rantau di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu meluangkan masa lebih kurang 45 minit melawat masyarakat India di Bandar Sri Sendayan selepas program Santai Sendayan bersama masyarakat sekitar dan solat Jumaat di Masjid Kariah Linsum.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. – Bernama

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *