PRK Rantau: Menanti kejutan Tun M malam ini

SEREMBAN – Kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah perdana PH malam ini masih menjadi tanya.

Sejak minggu kedua kempen, poster mengenai program tersebut yang memaparkan gambar Dr Mahathir bersama pimpinan-pimpinan PH lain disebarkan kepada penduduk Rantau.

Namun, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi sama ada Dr Mahathir akan turun atau tidak dalam program terakhir PH di Sendayan.

Salah seorang pegawai Dr Mahathir memaklumkan, program itu tiada dalam jadual Perdana Menteri namun tertakluk pada perubahan.

Dr Mahathir pula dalam sidang media dua hari lalu berkata, sama ada akan turun berkempen di Rantau atau tidak, itu adalah pilihannya.

“Itu pilihan saya, kalau saya nak pi (pergi ke Rantau) saya pi,” katanya.

Hadir atau tidak, Dr Mahathir tetap memberikan sokongan penuh kepada calon PH, Dr S Streram seperti yang pernah dinyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Namun, sebagai orang nombor satu PH, kehadiran Dr Mahathir dianggap penting kerana mampu menyuntik nilai tambah bagi mendapatkan sokongan pengundi Rantau.

Malah, sebagai calon, Streram sendiri pernah menyatakan beliau amat berharap Dr Mahathir turun bagi memberi sokongan di saat akhir.

Mengenali Dr Mahathir yang penuh dengan kejutan, tidak mustahil beliau akan hadir juga dalam ceramah perdana malam ini.

Lebih-lebih lagi beliau pernah turun dalam tiga PRK sebelum ini iaitu di Port Dickson, Cameron Highlands dan Semenyih.

Apa pun, sama ada Dr Mahathir akan turun ke Rantau atak tidak, segalanya bakal terjawab malam ini.

Sumber : Sinar harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *