Dr M puji menteri termuda Syed Saddiq

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memuji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila mengatakan kerajaan membuat pilihan yang berani melantik menteri berkenaan walaupun kurang pengalaman politik.

Bercakap semasa sesi dialog ‘Youth ask, Tun answers’ awal hari ini, Mahathir mengakui anggota kabinet termuda itu tidak berpengalaman, tetapi memiliki “semangat, idealisme dan keazaman”.

Perdana Menteri menegaskan kabinetnya juga tidak kekurangan ‘orang tua’ berpengalaman untuk menasihati ahli politik yang lebih muda.

Ketika berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata banyak cabaran dihadapi pemimpin berumur dalam menyediakan dasar dan program paling sesuai untuk mempersiapkan golongan belia di masa depan.

“Terdapat keseimbangan dalam menyediakan dasar dan program ini apabila orang dewasa mungkin fikir mereka tahu apa yang terbaik untuk belia tetapi jika belia tidak memberi respons atau mereka mendapati program-program ini tidak bersesuaian dengan mereka, maka program-program tersebut akan gagal dan bahkan boleh menjadi kontra produktif.

“Pendek kata, kerajaan akan terus berusaha untuk membentuk dasar dan program untuk belia dan kerajaan telah mengambil langkah berani ketika memutuskan untuk melantik seorang yang sangat muda untuk menjadi menteri belia dan sukan walaupun ada pihak yang menyatakan kebimbangan terhadap kekurangan pengalamannya.

“Kita percaya meskipun beliau tidak mempunyai pengalaman, beliau melakukannya dengan semangat, idealisme dan keazaman. Dan ada cukup orang berpengalaman dalam kabinet yang dia boleh belajar,” kata Mahathir dalam satu salinan ucapannya yang dihantar kepada¬†Malaysiakini.

Beliau terdahulu menjelaskan bahawa dirinya sendiri menghadapi cabaran untuk melibatkan diri dengan golongan muda meskipun berasa teruja dengan semangat dan idealisme ditunjukkan mereka.

Syed Saddiq menyaksikan kenaikan mendadak dalam kerjaya politik sejak mula dikenali sebagai aktivis pelajar dan juara debat dunia.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada sembilan pengasas Bersatu, dan kini mengetuai sayap Pemuda Bersatu, serta sayap Pemuda Pakatan Harapan.

Beliau memenangi pilihan umum tahun lalu apabila menewaskan anggota parlimen selama tiga penggal, Razali Ibrahim di Muar dengan majoriti 6,953 undi.

Sumber : Malaysiakini

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *