Polis tahan samseng jalanan tampar wanita

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengamuk sehingga dikatakan menampar seorang pemandu wanita gara-gara tidak memberikan signal (isyarat) ketika masuk simpang ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek ditahan kira-kira pada jam 10 malam pada hari kejadian, di Kampung Datuk Keramat.

“Ujian air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif. Siasatan masih dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini direman empat hari sehingga Selasa depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Dash datang dari arah belakang kereta jenis Honda Civic dipandu wanita itu.

Suspek memaki dan mengeluarkan kata kesat kepada pengadu dengan menuduh wanita tersebut tidak menggunakan isyarat ketika masuk simpang.

Seterusnya, suspek membuka helmetnya lalu menghentak atas bumbung kereta pengadu sebelum bertindak agresif menumbuk kepala serta menampar muka pengadu ketika wanita tersebut keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan keretanya.

Pengadu dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan kemudiannya telah membuat laporan polis.

Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain.

Sumber : Sinar

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *