‘Nak telanjang bogel pun kita peduli apa’

“DEPA nak pakai baju hitam ke, nak telanjang bogel pun kita peduli apa?” kata Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan di akaun Instagram, _chefwan58.

Sindiran secara tidak langsung itu dipercayai ditujukan kepada kempen Black 905 oleh pihak pembangkang yang diuar-uarkan berlangsung pada petang ini.

Tanpa mempedulikan tuduhan pihak tertentu terhadap kerajaan hari ini, Chef Wan berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sesungguhnya hero rakyat Malaysia yang menyelamat negara ini daripada muflis.

“Ya kita mungkin tidak mempunyai kerajaan yang serba sempurna untuk mengubah ekonomi kita dengan pantas selepas apa yang dilakukan UMNO sebelum ini.

“Tetapi, sememangnya kita sentiasa lebih baik daripada mempunyai kerajaan yang korup, mencuri segala-galanya daripada rakyat yang memberi malu kepada orang Melayu, agama dan negara.

“Cukup-cukuplah, sekarang adalah masa untuk kita semua bersatu sebagai sebuah Malaysia baharu, membina semula negara menebus maruah diri kita,” katanya.

Media semalam melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam menggesa rakyat Malaysia berbaju serba hitam hari ini sempena sambutan ulang tahun pertama Pakatan Harapan menerajui negara.

Menamakannya sebagai kempen ‘Black 905’ beliau memberi enam alasan untuk membantah, termasuk janji tidak ditunaikan dan ‘kemusnahan’ yang dikatakan membabitkan kedudukan istimewa Islam, hak Bumiputera, bahasa Melayu dan kedudukan raja.

Chef Wan berkata, satu perkara yang pasti bagi penggal ini ialah rakyat membuatkan mereka hilang kuasa dan sekarang mereka ‘menyalak’ siang dan malam.

“Biap pi lah. Kita yang sayangkan negara seperti yang saya lakukan dengan sepenuh hati akan bangun menentang mereka, bekerja lebih keras dan membangunkan semula ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi Twitter mengingatkan pihak terbabit agar berpada-pada dalam berpolitik.

“Protes apa lagi di bulan Ramadan yang mulia ini? Berpada-padalah kita dalam melaksanakan politik yang merugikan. Selamat berpuasa,” katanya.

Sumber : metro

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *